Keluarga Bahagia

Tips menghargai pasangan

1. Anggap pasangan seperti diri sendiri

Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai,
dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai
dan dikasihi apatah lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas
berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering
diabaikan oleh banyak pasangan. Pasangan anda adalah cerminan diri
anda sendiri. Kemana pun anda pergi potret wajahnya perlu anda bawa
bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumahtangga akan menjadi bahagia.

2. Isteri bukan pembantu rumah

Banyak suami menganggap bahawa kerja-kerja rumah adalah
tanggungjawab isteri seratus peratus. Walhal dalam Islam sendiri
tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja-
kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan bahawa wanita berkahwin
yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami
dengan sebaik akan dijamin masuk syurga. Itu sahaja. Atas jaminan
inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja-kerja rumah yang
mereka lakukan selama ini.

3. Isteri adalah manusia

Mereka ialah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila
mereka redha dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan,
maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun jika mereka tertekan
dengan apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan
sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka
hadapi.

4. Ingat tarikh penting

Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah
oleh sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Cukup
sekadar seutas jam ataupun sehelai tudung. Jika ‘budget’ anda tidak
mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai.

5. Bantu ringankan tugas isteri

Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri
anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah. Maka
suamipun perlu membantu. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang
berat seperti lauk pauk cukup sekadar menggoreng ikan atau telur.
Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda
masak. Tentu dia berasa gembira dan tersenyum.

6. Bawa isteri berehat

Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu
kebebasan baginya. Kerana isteri tidak dapat menghidu apakah yang
dilakukan di belakangya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini.
Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat-tempat
peranginan misalnya

7. Ciuman khas untuk isterimu

Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi
isteri anda ketika dia berehat setelah begitu penat bekerja. Tahukah
anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat
menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu.
Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri.

8. Beri pujian kepada isteri

Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia
cantik dan kemas. Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri
tatkala semangatnya hilang dan luntur.

9. Dengar pendapat isteri

Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf
pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu-isu semasa boleh
dijadikan sebagai ‘ice-breaking’ . Kemudian, berbincanglah tentang
hal rumahtangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan
isteri tentang problem kerjanya.

10. Penuhi hajat isteri

Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Bukankah
pemberian itu melambangkan habawa anda adalah suami yang amat
menghargai pengorbanan isteri.

Selamat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan
seikhlasnya. ………

Urus rumah tangga juga ibadat

 

RAMADAN adalah bulan yang penuh rahmat. Pada bulan ini, umat Islam berpeluang meningkatkan ibadat masing-masing kerana `syaitan-syaitan dirantai’.

Bagaimanapun, apabila tiba Ramadan, antara insan yang paling sibuk ialah ibu atau isteri. Manakan tidak, hendak bangun tengah malam menyediakan juadah bersahur, melayan kerenah anak-anak dan juga menyediakan juadah berbuka.

Akibat kesibukan itu, sebahagian kaum ibu tidak sempat menunaikan beberapa ibadat sunat terutamanya solat tarawih.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, RASHID MAHFOF menemu bual pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof. Madya Dr. Asiah Ali bagi mengupas isu ini.

MEGA: Ramadan disambut dengan pelbagai perasaan. Apakah perasaan yang sepatutnya ada bagi umat Islam apabila menyambut bulan ini?

DR. ASIAH: Sewajarnya sebagai umat Islam kita rasa amat bertuah kerana dipertemukan dengan bulan Ramadan tahun ini. Sebabnya, bulan yang penuh keberkatan ini hanya datang sekali dalam setahun.

Sebab itu, Ramadan kerap dipanggil bulan karnival ibadat. Dari segi bahasa, ia bermaksud panas, dahaga dan terbakar. Maksudnya, Allah akan menghapuskan dosa hamba-Nya melalui amalan-amalan yang dikerjakan.

Diriwayatkan dalam satu hadis bagi menggambarkan bulan Ramadan iaitu “Bulan awalnya rahmat, pertengahan keampunan dan akhirnya kebebasan dari neraka”.

Ramadan juga adalah bulan di mana al-Quran yang menjadi petunjuk dan memberi hidayah kepada manusia diturunkan.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan salah… (al-Baqarah: 185)

Solat tarawih adalah antara ibadat yang amat dituntut kita mengerjakannya. Apakah alternatif bagi golongan ibu yang tidak dapat menunaikannya di masjid atau di surau?

DR. ASIAH: Solat tarawih ini adalah salah satu lambang ibadat bulan Ramadan. Ia tidak ada dalam bulan-bulan yang lain. Sebab itu, kalau boleh dan jika tidak ada uzur syarie eloklah kita berlumba-lumba mengerjakannya. Rugi sangat bagi yang meninggalkannya.

Namun, bagi ibu-ibu yang mempunyai tanggungjawab menjaga anak yang masih kecil atau pun bayi, anda masih berpeluang menunaikan solat tarawih atau pun mencari pahala semasa di rumah.

Apabila berlaku keadaan begini, para ibu boleh menunaikan solat tarawih selepas anak-anak tidur. Solat ini tidak semestinya ditunaikan secara berjemaah. Ia boleh dilakukan secara bersendirian.

Barangkali kekeliruan tentang pelaksanaan solat tarawih ini berlaku disebabkan selama ini, majoriti kaum wanita hanya menjadi pengikut di surau atau masjid. Eloklah kita mengubah keadaan ini. Sekali-sekala kita menjadi pemimpin.

Kalau suami berjemaah di masjid dan kita tinggal di rumah bersama anak-anak, para ibu boleh mendidik anak-anak untuk solat tarawih bersama.

Apa yang penting, para ibu jangan berhenti mencari ilmu. Disebabkan tidak berilmu maka ada di kalangan kaum ibu yang terlepas peluang bersolat tarawih. Menuntut ilmu ini terutama ilmu ibadat khusus seperti solat, haji dan puasa perlu dibuat secara berterusan.

Ingatlah janji Allah terhadap mereka yang berilmu sebagai mana firman-Nya: Allah meninggikan darjat orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (di kalangan kamu) beberapa darjat. (al-Mujaadalah: 11).

Apabila bertembung antara menunaikan sunat tarawih dengan tanggungjawab menjaga anak yang masih kecil, apakah keputusan yang perlu diambil?

DR. ASIAH: Dalam hal ini, kaum wanita perlu bijak membuat keputusan. Jika tiada halangan, anak-anak semuanya sudah besar maka bolehlah kita ke masjid atau surau.

Yang penting, jika membawa anak ke masjid kita perlu pastikan mereka tidak mengganggu jemaah yang lain beribadat.

Jika ia mengganggu konsentrasi jemaah lain maka lebih elok kita berada di rumah. Sebab itu ada hadis yang menyebut, “Jangan kamu larang wanita ke masjid tetapi tempat yang afdal bagi mereka ialah di rumah”.

Ini menunjukkan keutamaan bagi kaum wanita di mana tempat yang lebih utama kepada mereka ialah berada di rumah mengurus rumah tangga dan anak-anak. Dalam sebuah hadis lain, “Kaum ibu (wanita) adalah pengurus dalam rumah tangga suami…”

Semua ini menunjukkan bahawa tugas utama para ibu ialah mendidik anak-anak. Namun demikian, semasa berada di rumah para ibu boleh mengambil peluang ini dengan mengajar anak menunaikan solat tarawih dan juga bertadarus dengan mereka.

Bukan pula bermaksud, tidak pergi solat tarawih di masjid dan surau pahala kaum ibu itu kurang.

Allah menciptakan lelaki dan perempuan daripada sumber yang sama tetapi mempunyai peranan yang berbeza.

Wanita dengan sifat lemah lembut lebih sesuai mendidik anak-anak kerana proses ini melibatkan emosi. Adakalanya kita marah, adakalanya kita belai anak-anak.

Dalam masa yang sama, para ibu berperanan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk akidah, akhlak dan mendidik anak-anak dalam proses mereka membesar.

Ada yang berpendapat, menjalankan kerja rumah seperti memasak untuk suami dan anak-anak serta menjaga anak bukan ibadat. Benarkah dakwaan ini?

DR. ASIAH: Dalam kehidupan seharian, selama mana sesuatu itu dilakukan untuk mencapai reda Allah, ia dikira sebagai ibadat. Ibadat ini terbahagi dua iaitu khusus dan umum.

Ibadat khusus ialah membuat sesuatu sebagai lambang ubudiah (pengabdian) kepada Allah. Ini termasuklah ibadat seperti solat, haji, zakat dan puasa.

Ibadat umum pula meliputi kita melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada golongan lain. Contohnya, kita berjual-beli, kita memberi kemudahan dan keringanan kepada orang lain.

Sebab itu, isteri yang menyediakan makan-minum untuk suami dan anak-anak, mengurus rumah tangga dengan niat mencari reda Allah turut diberi pahala. Sebabnya, ini juga termasuk dalam ibadat.

Bukan mudah untuk para ibu bangun pukul 4 pagi menyediakan juadah untuk bersahur. Tetapi jika kita reda dan berazam, ia menjadi mudah. Air tangan isteri yang memasak itu menjadi pengikat kasih sayang keluarga.

Malah adakalanya ia turut membuka peluang untuk kita melakukan ibadat yang jarang kita buat dalam bulan-bulan biasa.

Contohnya, solat tahajud, hajat dan sebagainya. Semua ini diberi pahala yang besar.

Sebenarnya, kaum wanita atau ibu sangat mudah mendapat pahala. Buatkan air untuk suami, memasak untuk anak-anak, semuanya dikira sebagai pahala.

Cuma kita perlu melihat kaitannya dengan Allah. Tanpa kaitan sebegini boleh membawa kepada timbulnya isteri yang merasa sentiasa di bawah perintah suami sedangkan sifat sebagai isteri ialah sebagai teman dan memberi ketenangan kepada suami.

Ganjaran pahala daripada Allah bukan diberi berdasarkan gender sebaliknya kepada sesiapa yang melakukan amal soleh. Allah berfirman: Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) walau sedikitpun. (an-Nisaa’: 124)

Ada di kalangan isteri yang rajin membuat kerja rumah tetapi dalam masa yang sama turut banyak berleter. Apakah nasihat Dr. kepada mereka terutama dalam bulan Ramadan ini?

DR. ASIAH: Bagi golongan yang begini, saya menasihatkan agar membuang sifat buruk ini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Bercakap banyak, berleter atau mengomel ini adalah antara perbuatan yang makruh semasa berpuasa. Sebabnya, apabila banyak bercakap ada kemungkinan banyak salah dan silap.

Ramadan adalah bulan yang perlu diisi dengan kesabaran. Jangan budayakan suka berleter.

Seperti yang disebutkan di atas tadi, jika kita melakukan kerja rumah tetapi pada masa yang sama mengungkit-ungkit, ia seperti kita tidak reda. Maka kita bimbang, tidak diberi pahala melakukan kerja tersebut.

15 Rangsangan Mudah menjadikan Anak Bijak

  1. TUKAR PEMANDANGAN.  Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain.  Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.
  2. MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA.  Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar – dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan.  Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa.  Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .
  3. RAKAM VIDEO UNTUKNYA.  Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya.  Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.
  4. MAIN HUJAN.  Lompat ke dalam lopak air yang besar.  Duduk di atas rumput basah bersamanya.  Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.
  5. MENANGKAP SERANGGA.  Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.
  6. BERGURAU-SENDA.  Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakana “Ini Ibu.”  Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan ‘gurauan’ anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.
  7. MAIN DENGAN PAKAIAN. Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya.  Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama.  Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.
  8. AJAR TENTANG ISIPADU.  Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya.  Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh.  Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.
  9. HASILKAN ALBUM KELUARGA.  Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.  Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.
  10. SURUH ANAK MEMBUAT KERJA.  Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna.  Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
  11. PERGI KE PERPUSTAKAAN.  Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka.  Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.
  12. CONTOHI CARA SESAME STREET.  Khaskan satu minggu untuk satu abjad.  Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.
  13. MAIN BERULANG-ULANG.  Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi.  Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.
  14. MAIN “TIRU-MENIRU”.  Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda.  Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.
  15. BERCAKAP TENTANG PERASAAN.  Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini.  Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi.  Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

10 tips janjikan kebahagiaan

“Semoga panjang jodoh, dan murah rezeki,” ayat ini memang biasa kita
dengar diucapkan kepada pasangan pengantin, pada majlis
persandingannya. Tetapi, tahukah anda apa yang perlu dilakukan dalam
memastikan hubungan suami isteri sentiasa berpanjangan? Erm, jika
anda inginkan hubungan yang sentiasa segar bersama pasangan anda,
pastikan anda menyemak tips di bawah.

1. Lagu – setiap individu mempunyai lagu kegemaran masing-masing, di
mana lagu ini boleh menenangkan hati dan memberi semangat baru
kepada pencinta lagu tersebut. Bagi memastikan hubungan anda berdua
sentiasa mekar, pilih satu lagu, contohnya “Keabadian Cinta” yang
diklasifikasikan sebagai “lagu kita”. Di mana apabila anda mendengar
lagu ini, anda akan terasa bahawa pasangan anda sentiasa dekat
dengan anda. Biarpun ketika anda dan pasangan berselisih faham,
sebaik sahaja mendengar “lagu kita”, anda akan rasa tersentuh dan
ingin berbaik semula dengan pasangan anda.

2. Ketawa – kata orang, “ketawa penawar duka,” jadi ketawalah
bersama pasangan anda. Apabila anda ketawa, anda akan dapat merasai
segala kebahagiaan bersama pasangan anda.

3. Kad – bagi memastikan hubungan anda sentiasa mekar, hadiahkan
pasangan anda sekeping kad. Kad ini tidak semestinya diberikan
sempena hari lahirnya, hari ulangtahun, valentine dan sebagainya,
tetapi berikan kad tanpa sebarang sebab. Nyatakan rasa sayang dan
rindu terhadap pasangan anda. Erm… tentunya si dia rasa dihargai.

 4. Beri bantuan – pasangan anda akan amat menghargai jika anda
seorang yang ringan tulang. Jadi, berilah apa jua pertolongan kepada
pasangan anda tanpa disuruh. Tentu si dia akan rasa tersentuh dengan
pertolongan anda. Sebagai contoh, bagi suami, jika anda bangun
lewat, kemaslah katil tersebut. Jangan tunggu sehingga isteri anda
mengemaskannya. Lagipun bukannya susah sangat mengemas katilkan?

5. Pendengar setia – dalam perkahwinan ikatan anda bersama pasangan
bukan sahaja terikat sebagai suami dan isteri, malah lebih dari itu.
Dengan itu adalah wajar bagi anda untuk mendengar apa jua masalah
atau bahan cerita yang ingin disampaikan olehnya. Mendengar tidak
semestinya memberikan pandangan atau nasihat. Setakat mendengar itu
telah memadai!

6. Memahami – erm, sifat ini sukar untuk dilakukan jika kita tidak
berusaha untuk mendekati pasangan kita. Tetapi jika anda cuba untuk
memahami pasangan anda, tentu sahaja ia amat mudah untuk dilakukan,
dan tentunya tidak akan timbul perselisihan faham.

7. Pujian – siapa yang tidak suka dipuji? Tentu sahaja anda juga
suka dipuji. Dengan itu, jika pasangan anda melakukan sesuatu yang
membuatkan anda terhibur, berikanlah si dia pujian. Dengan pujian,
anda akan dapati pasangan anda lebih komited dan berusaha untuk
menyelami hati anda. Itukan bagus…

8.Telefon – hai… ramai yang beranggapan perasaan rindu
akan `merosot’ sebaik sahaja telah mendirikan rumahtangga. Anda
silap! Sebenarnya perasaan ini akan terus menyala dan perasaan itu
akan semakin memuncak, apabila salah seorang tiada di sisi.
Contohnya, suami yang terpaksa bekerja di luar daerah akan
menyebabkan si isteri kerinduan. Lebih-lebih lagi jika tempoh
bekerja itu memakan masa yang lama. Jadi… apalah salahnya jika anda
menelefon pasangan anda, setiap hari apabila anda berjauhan dengan
pasangan anda, biarpun dalam jangka masa yang singkat!

9. Memimpin tangan – ha… ini lagi satu… Entah mengapa setiap
pasangan yang telah mendirikan rumahtangga, jarang sekali yang
saling memimpin tangan di tempat awam. Sedangkan masa bercinta dulu,
seolah-olah tak boleh lepas! Apa kata anda memimpin tangan pasangan
anda, walaupun di tempat awam. Tentunya pasangan anda lebih rasa
selamat dalam pegangan anda.
10. Memeluk – peluklah pasangan anda setiap hari. Pelukan merupakan
salah satu cara menyatakan perasaan sayang anda kepada pasangan
anda. Impulse itu akan meresap ke dalam diri pasangan anda serta
merta! Nyatakan rasa sayang anda bukan sahaja dengan kata-kata,
malah pelukan juga berkesan!
Bukan susahkan? Selamat mencuba dan semoga anda dan pasangan
dipanjangkan jodoh sehingga ke akhir hayat.


%d bloggers like this: