Forum Penghayatan Islam Hadhari Berjaya Tarik 1300 Orang Penonton

 dsc01477.jpgdsc01494.jpgdsc01517.jpg

 Felda Gugusan Adela, 29 Julai – Seramai 1300 orang dari seluruh pelusuk Parlimen Pengerang telah membanjiri perkarangan Masjid Jamek Felda Gugusan Adela untuk menyaksikan Forum Penghayatan Islam Hadhari Peringkat Parlimen Pengerang. Forum yang bertajuk ‘ Insan Cemerlang, Umat Terbilang’ telah dibarisi oleh ahli panel terkenal seperti YB Sahibul Samahah Dato’ Mohd Tahrir Dato’ Kiyai Samsudin, Timbalan Mufti Negeri Johor, Brig. Jen. Datuk Jamil Khir Baharom, Pengarah KAGAT, Dr. Robiah Hamzah, Pakar Motivasi dan Ustaz Sharin Md Jamaludin bertindak sebagai Pengerusi Forum.

Forum yang berlangsung sejurus selepas solat Isyak telah dimulakan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid dari SMKA Bandar Penawar.

Md Atan Jamin, Pengerusi Badan Kebajikan Masjid Felda Gugusan Adela telah menyampaikan ucapan aluan dengan melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada YB Dato’ Seri Azalina Dato’ Othman Said kerana memilih Masjid Felda Gugusan sebagai lokasi forum. Manakala Datuk Abd Rahim Abu, Setiausaha Politik YB Dato’ Seri dalam ucapannya selepas itu telah menyampaikan gagasan visi dan misi YB Dato’ Seri dalam kerangka perancangan pembangunan modal insan untuk Parlimen Pengerang.

Dalam forum tersebut, umat Islam disarankan agar menjadikan Rasullullah sebagai idola dan model ke arah menjadi insan cemerlang. Budaya kekitaan dan persaudaraan perlu dibugarkan kembali agar masalah masyarakat dapat ditangani secara kolektif dan efektif. Semangat perjuangan untuk menegakkan syiar agama perlu ada dalam setiap orang Islam agar martabat umat Islam tidak mudah diperlekeh oleh orang bukan Islam.

Forum yang berakhir pada jam 11.00 malam turut dihadiri oleh Datin Maznah Shukri, isteri YB Datuk Harun Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Pengerang dan pemimpin-pemimpin masyarakat.


%d bloggers like this: